Wednesday, April 02, 2008

NEXT STORY

Portfolio Exco Terengganu bakal ada perubahan: MB



KUALA TERENGGANU: Beberapa portfolio anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu bakal disusun semula termasuk digabungkan supaya selaras dengan barisan Kabinet baru di peringkat kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata perubahan itu adalah perkara biasa bagi memastikan portfolio yang diwujudkan itu, selaras dengan peranan atau tugas jemaah menteri.

“Seperti Kabinet, ada yang cantum...kita tengok kalau ada kesesuaian. Perubahan ini perkara biasa untuk disesuaikan dengan Kabinet.

“Walaupun tidak sama (seperti Kabinet), tapi sekurang-kurangnya ada pelarasan (terhadap tugas exco kerajaan negeri dengan Jemaah Menteri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup menghafaz Al-Quran peringkat negeri Terengganu di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, malam semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Shaikh Harun Shaik Ismail.

Ahmad turut membayangkan senarai barisan Exco kerajaan negeri itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal menganggotai barisan pentadbiran kerajaan negeri itu.

“Kalau nak tahu berapa peratus muka baru, boleh kira bila saya umumkan senarai barisan exco. Insya-Allah dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana reaksi Adun yang dipilih sebagai Exco kerajaan negeri kelak, Ahmad berkata: “Insya-Allah mereka terima. Keputusan yang kita buat dalam pemilihan Exco adalah untuk kepentingan rakyat Terengganu.”

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi program melahirkan penghafaz al-Quran di negeri ini tahun ini,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Quick Linker